Kota
Bharu: Mek Som Mat Diah, 89, yang putus pergelangan kaki kiri ditetak
remaja berusia 19 tahun yang juga jiran sekampungnya kelmarin, meluahkan
ungkapan pilu, ‘bagaimana hendak berjalan dalam keadaan kaki kudung’.
Cucu
saudara Mek Som Mustafa Yusof, 50, berkata, nenek saudaranya itu sering
berkata demikian sekali gus mengundang syahdu kepada sesiapa yang
melawatnya.
Katanya,
Mek Som juga sering mengungkapkan 'jahat budak itu' berulang kali
merujuk kepada remaja yang menetaknya sekali gus menunjukkan dia tidak
memaafkan perbuatan kejam terbabit.
"Mungkin
agak susah dia nak maafkan penjenayah itu, sebab nenek ulang kali sebut
'jahat budak itu'. Saya ada juga beritahu yang remaja itu sudah
ditangkap.
"Jadi
kita tahu dia masih susah melupakan apa yang berlaku apatah lagi mahu
maafkan remaja itu. Saya harap nenek dapat melupakan semua ini dan tabah
menjalani kehidupan masa depan," katanya.
Menurut Mustafa kaki Mek Som tidak akan dipotong hingga paras betis, sebaliknya cukup dengan apa yang ada sekarang.
Katanya, dia sekeluarga akan memohon bantuan kaki palsu untuk Mek Som.
“Kita
takkan biarkan dia keseorangan kerana tahu emosinya masih belum stabil.
Selepas ini, kami akan berbincang sesama ahli keluarga untuk menjaga
Mek Som dan anaknya (Mek Esah Abdullah, 60).
“Mereka
takkan dibiarkan tinggal berdua di rumah. Kami akan pastikan dia
tinggal dengan keluarga terdekat demi keselamatan mereka," katanya.
Sementara
itu, Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof
Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata, pihaknya akan cuba membantu warga emas
itu mendapatkan bantuan termasuk kerusi roda atau kaki palsu.
Beliau berkata, bantuan itu penting bagi membolehkan wanita itu menjalani kehidupan dengan baik selepas keluar hospital.
“Kita
akan usahakan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis
Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) selain agensi lain
yang boleh menghulurkan bantuan,” katanya.