Shah Alam: Perbuatan seorang lelaki menjadikan waktu berbuka puasa
sebegai peluang untuk mencuri motosikal di sekitar Universiti Teknologi
MARA (UiTM), di sini, terbongkar apabila ditahan ketika mencari
‘sasaran’ bersama teman wanitanya, kelmarin.
Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu bergerak bersama rakannya
dengan menggunakan taktik meletakkan motosikal ditunggangnya
bersebelahan motosikal yang hendak dicuri.
Dia dikatakan berpura-pura mahu berbuka puasa di kafe universiti namun keluar semula sebelum melarikan motosikal mangsa.
Kegiatan haramnya dihidu polis bantuan UiTM yang menahan suspek dan teman wanitanya berusia 20-an jam 5.45 petang, kelmarin.
Ketua Polis Bantuan UiTM Superintendan Badarudin Mohd Dom berkata,
pihaknya melakukan intipan dan rondaan lebih kerap selepas menerima
laporan kehilangan empat motosikal Yamaha 125Z di kawasan itu sejak
seminggu lalu.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami mengenal
pasti lelaki itu yang berada di kawasan kafe seolah-olah mencari
motosikal sasarannya.
“Menyedari kehadiran seorang anggota polis bantuan, lelaki dan teman
wanitanya bergegas melarikan diri dengan motosikal ditunggangnya,”
katanya, di sini, semalam.
Menurutnya, perkara itu segera dimaklumkan kepada anggota polis di
pintu masuk dan lelaki terbabit cuba melanggar pagar namun terjatuh
sebelum ditahan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner
Shafien Mamat mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya memburu rakan
suspek bagi membantu siasatan - hmetro.com.my