Kerana Asyik Menikmati Air Daun Ketum... Enam Belas Orang Di tahan di Perlis








Enam belas orang termasuk tiga wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan daun ketum di Kampung Guar Musang, Jalan Panggas, Chuping, semalam.
Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Noor Mushar Muhamad berkata, kejadian berlaku pada 6.30 petang di mana sepasukan polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan risikan selepas menerima maklumat orang ramai bahawa terdapat kegiatan penyalahgunaan daun ketum dalam satu keramaian memperingati kematian penduduk di kampung itu.
“Ketika diserbu, kumpulan yang terdiri daripada 13 lelaki berkenaan sedang menikmati minuman air ketum yang dimasak di bangsal mereka berkumpul,” lapor Harian Metro.
Pemeriksaan ke atas kumpulan lelaki berkenaan tidak menemui apa-apa barangan yang mencurigakan.
Namun, pemeriksaan selanjutnya di bangsal berkenaan menjumpai satu tong bertutup berwarna oren yang berisi 25 botol minuman ringan yang diisi air ketum sebanyak 37.5 liter serta 12 bungkusan plastik lutsinar berisi enam liter air ketum.
“Selain itu, polis juga menjumpai wang tunai RM635 dalam almari di bangsal berkenaan yang disyaki hasil jualan air ketum itu,”katanya.
Penemuan berkenaan membawa polis kepada satu lagi serbuan di rumah berhampiran bangsal berkenaan di mana tiga wanita termasuk pemilik rumah berkenaan berusia 61 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Pemeriksaan dalam bilik di rumah itu menjumpai 125 bungkusan plastik lutsinar daun ketum seberat 20 kilogram yang diletakkan dalam bakul merah.
“Selain itu juga, pemeriksaan polis di dalam stor yang agak besar di sebelah rumah itu turut menjumpai lima tong yang mengandungi 136 botol minuman ringan berisi 284 liter air ketum dan lima bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 25 kilogram,” katanya.
Malah, satu bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi 14 botol ubat batuk turut ditemui dalam stor berkenaan.
Bekalan daun ketum yang ditemui itu dipercayai diperoleh dari kebun daun ketum yang ditanam oleh pemilik rumah berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati sejumlah besar air ketum itu dijadikan sebagai minuman tetamu ketika keramaian itu selain untuk diniagakan.
“Kita percaya bahawa rumah ini bukan sahaja dijadikan tempat memproses air ketum untuk tujuan perniagaan tetapi ia juga dijadikan tempat penyimpanan stok air ketum ini terutama ketika majlis keramaian,” katanya lagi.
Nilai keseluruhan rampasan daun ketum itu dianggarkan berjumlah RM675.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close