Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Nik Mohamad Lutfi Kamarudin, 14, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala serta mengalami pendarahan yang serius di hidung dan te­linga.
Ketika kejadian pelajar tingkatan dua itu dikatakan sedang mengikuti mata pelajaran Pendidikan Jasmani bersama 11 ra­kan sekelas dan ditemani gurunya sebelum tiang tersebut tiba-tiba tumbang.
Seorang rakan mangsa, Wan Mustakim Wan Musa, 14, berkata, dia ternampak mangsa cuba menendang bola sebelum jatuh tertiarap di depan pintu gol ke­rana padang licin dan tiba-tiba tiang gol besi itu tumbang lalu menghempap kepalanya.
“Saya bersama rakan yang lain bergegas ke arahnya untuk memberi bantuan dan mengangkatnya. Kami melihat darah keluar melalui hidung dan telinga sebelum dia meninggal dunia.
“Saya terkejut dan amat sedih melihat kejadian yang menimpa rakan karib saya kerana dia sungguh ceria semasa sesi persekolahan dibuka selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi rakan mangsa, Mohd. Farid Mohd. Razali, 14, berkata, mangsa terjatuh di depan pintu gol yang dijaganya ketika dia sedang mengejar bola yang bergolek di luar padang.
“Saya tidak menyedari tiang gol itu tumbang kerana sibuk mengejar bola. Tidak lama kemudian saya terdengar bunyi bising daripada rakan yang lain dan terus berkejar ke arah mang­sa malangnya dia telah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk proses bedah siasat.
“Mayat mangsa akan dikebumikan di kampung halaman keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Paloh lewat petang ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Ab. Aziz Abdullah mahu pihak pengurusan di 592 sekolah rendah dan menengah di negeri ini meningkatkan tahap keselamatan terutama penggunaan alatan sukan.
“Saya berharap semua guru besar dan pengetua supaya mengambil berat tentang sekolah terutama kes penggunaan alatan sukan kerana tiang gol dibuat daripada besi dan tak tahan lama. Jadi kita kena ambil langkah keselamatan yang lebih lagi selepas ini.
“Saya sedih dan simpati de­ngan tragedi yang berlaku dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga atas peristiwa ini yang tidak diduga ini,” kata­nya ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang.