Allahyarham yang terkenal dengan watak Etong dalam persembahan wayang kulit itu meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
Menurut anaknya, Mohd. Farhan, 21, arwah bapanya itu menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan anggota keluarga di hospital berkenaan.
"Arwah memang mempunyai masalah jantung dan menjalani rawatan di hospital tetapi pagi tadi dia ceria sahaja, malah sudah dibenarkan keluar hospital sebelum jatuh sakit petang tadi dan menghembuskan nafasnya di sisi kami sekeluarga," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kehilangan Allahyarham pasti dirasai oleh penggemar wayang kulit.
Katanya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di perkuburan Islam di Kampung Kunluang Binjal Asun Kubang Pasu pada pukul 9 pagi esok.
Allahyarham yang dilahirkan pada 24 Januari 1949 adalah anak kedua kepada Mohd. Noh Mahmud iaitu pengasas Kumpulan Wayang Kulit Seri Asun.
Allahyarham mula menceburkan diri dalam wayang kulit sejak berumur 16 tahun sebelum mewarisi kumpulan itu daripada bapanya. - UTUSAN ONLINE