Pendakwah antarabangsa, Dr zakir Naik akan tetap meneruskan program-program ceramah walaupun terdapat beberapa pihak yang mengaitkan beliau terlibat dengan pengganas.




SHAH ALAM – Pendakwah antarabangsa, Dr zakir Naik akan tetap meneruskan program-program ceramah walaupun terdapat beberapa pihak yang mengaitkan beliau terlibat dengan pengganas.
Menurut protege beliau, Ustaz Abu Shariz Badr Sarajun Hoda berkata, Dr Zakir dikaitkan dengan pengganas berikutan daripada laporan sebuah media di Bangladesh berhubung serangan keganasan yang berlaku di Dhaka pada 1 Julai lalu.
“Menerusi laporan media berkenaan, mereka melaporkan bahawa salah seorang pengganas yang terlibat merupakan pengikut Dr Zakir di laman fan page Facebook beliau dan dari situ tercetusnya salah faham dan ada pihak menganggapnya terlibat sebagai pengganas,” katanya kepada Sinar Online hari ini.
Dalam pada itu, Abu Shariz berkata, media terlibat juga telah memohon maaf secara terbuka kepada Dr Zakir berhubung kekeliruan tersebut dan mereka menjelaskan bahawa laporan berkenaan tiada sebarang unsur untuk mengaitkan beliau dengan serangan keganasan berkenaan.
Namun begitu, Abu Shariz berkata, pihaknya merasa pelik dengan tindakan sebilangan media di India yang masih ingin memburukkan Dr Zakir dan merasakan pihak berkenaan mempunyai agenda tersendiri dalam hal tersebut.
“Mereka cuma ketengahkan satu isu di mana salah seorang pengganas itu telah like fan page Dr Zakir sedangkan media yang mula-mula mengeluarkan mengenai perkara ini telah pun mohon maaf secara terbuka.
“Jadi kenapa sesetengah media di India masih nak burukkan beliau dan ia sememangnya disebabkan mereka ada agenda sendiri. Barangkali kerana Dr Zakir merupakan penceramah paling terkemuka di dunia bagi perbandingan agama,” katanya.
Selain daripada itu, Abu Shariz memaklumkan bahawa terdapat juga pihak di India serta golongan Syiah turut membuat tawaran wang kepada orang ramai yang dapat membunuh Dr Zakir.
Beliau berkata,  ugutan bunuh berkenaan bukannya merupakan perkara baharu memandangkan sebelum ini Dr Zakir juga telah menerima beberapa ugutan dan turut membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
“Mereka letakkan hadiah wang ke atas kepala Dr Zakir dan perkara ini turut mendapat kritikan dari sebilangan pihak.
“Kalau Dr Zakir terlibat dengan pengganas, buktikan,”katanya.

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close