Shah Alam: Dua kanak-kanak ditemui lemas dalam kolam tadahan banjir Alam Impian, Seksyen 35, di sini, hari ini.
Kedua-duanya dikatakan bermain bola sepak dekat kawasan berkenaan bersama empat rakan lain.
Difahamkan, mereka yang berumur antara 10 hingga 13 tahun itu berbasikal dari Taman Sri Muda ke kawasan bersebelahan kolam terbabit, kira-kira 1 petang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata dua daripada mereka dikatakan cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam kolam terbabit sebelum lemas.
"Mayat pertama ditemui dikenali sebagai Muhd Anif Izwan Abd Latif, 11. Ditemui anggota Bomba dan Penyelamat, pada 1.45 petang
"Mayat kedua, Mohd Faiz, 13, pula ditemui kira-kira dua jam kemudian. Dedua-duanya ditemui tidak jauh antara satu dengan lain," katanya.
Menurutnya, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.