Banduan Diserah dengan Pakaian Wanita





Agensi
Jakarta: Polis semalam menyerahkan semula seorang banduan yang ditangkap selepas melarikan diri dari sebuah penjara di sini dengan menyamar sebagai perempuan.
Apa yang menarik, Anwar yang dipenjara seumur hidup diserah semula kepada pihak penjara dengan memakai pakaian perempuan lengkap dengan tudung dan memakai gincu merah jambu.
Anwar yang dipenjara kerana merogol dan membunuh melarikan diri dari penjara di Rutan Salemba pada hari raya kedua lalu dengan memakai pakaian perempuan dan bertudung.
Dia berjaya mengelak daripada dikesan pengawal kerana ketika itu penjara sibuk dengan kehadiran keluarga banduan sempena sambutan Aidilfitri.
Selepas beberapa hari diburu, akhirnya Anwar berjaya ditangkap di sebuah pondok berhampiran rumah keluarganya di kampung Barengkok di Bogor kelmarin.
Anwar yang memakai baju perempuan dilihat menundukkan mukanya ketika dibawa keluar ibu pejabat polis Metro Jaya untuk dihantar semula ke penjara.
“Seperti yang anda tahu, Anwar melarikan diri dari penjara selepas mendapat bantuan isterinya yang membawa masuk baju, tudung dan gincu seperti yang dipakainya ketika ini,” kata jurucakap polis Metro Jaya, Awi Setiyono.
Polis juga bakal mengambil tindakan terhadap isteri Anwar yang membantunya melarikan diri. - Agensi

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close