Van Gaal 'Calon Berpotensi' ganti Wilmots


BEKAS pengurus Manchester United, Louis van Gaal (kiri) dan Marc Wilmots.
LONDON: Belgium akan melantik jurulatih yang sudah membuktikan pengalamannya di pentas antarabangsa, kata Persatuan Bola Sepak Belgium (KBVB), semalam dalam usaha mencari pengganti Marc Wilmots.
Perkembangan itu menyaksikan bekas pengurus Manchester United, Louis van Gaal kini kuat dikaitkan dengan jawatan terbabit dan presiden KBVB, Francois de Keersmaecker mengakui bekas pengurus Belanda itu sebagai "calon berpotensi" sekiranya di membuat permohonan.
Pasukan di ranking kedua dunia itu memulakan langkah untuk mencari jurulatih baru selepas Wilmots dipecat susulan kekalahan Belgium di peringkat suku akhir Euro 2016 kepada Wales.
Kriteria-kriteria menarik sudah dinyatakan oleh badan induk itu di mana pengarah teknikal, Chris van Puyvelde berkata pihaknya sedang mencari seseorang yang mampu daripada pemain di 'generasi istimewa'.
"Ia proses yang terbuka. Saya menjangkakan e-mel saya akan dilimpahi (permohonan," kata Puyvelde yang menilai proses pemilihan terbabit.
"Kami mahukan calon yang mempunyai pengalaman dan sudah pun mempunyai keputusan di pentas bola sepak antarabangsa. Dia mesti memainkan bola sepak moden.
"Dia perlu menunjukkan kepintaran taktikal dan mempunyai kemampuan untuk mengadaptasi kerana tiada satu pun atau lawan adalah sama. Dia perlu mampu memberikan persembahan yang tertinggi kerana pemain-pemain yang dia akan bekerja bersama pemain yang biasa bekerja di tahap tertinggi."
"Kami mempunyai generasi istimewa dan mereka juga perlu dibenarkan untuk membuat keputusan mereka sendiri."
Skuad Euro 2016 Belgium menampilkan beberapa bakat terbaik di Eropah antaranya perancang Chelsea, Eden Hazard, penjaga gol, Thibaut Courtois dan pemain sayap Manchester City, Kevin de Bruyne.
Begitupun, kempen mereka berakhir dengan kekalahan 3-1 kepada Wales.
Puyvelde menambah, jurulatih yang akan dilantik bukan saja dari Belgium dan pihaknya menjangkakan nama-nama besar akan menghantar borang permohonan disebabkan ranking pasukan itu.
De Keersmaecker ketika ditanya sama ada Van Gaal yang dipecat United pada Mei lalu sebagai calon, dia membalas: "Van Gaal mungkin calon berpotensi.
"Kita akan lihat jika dia meletakkan dirinya sebagai calon. Jika dia melakukannya, kami akan menilai pencalonannya," katanya.
KBVB berkata, persatuan itu mahu jurulatih baru dilantik sebelum 1 September ketika Belgium menanti kunjungan Sepanyol dalam aksi persahabatan antarabangsa di Brussels. - Agensi


facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close