Ibu Suspek Rayu Ibu Mangsa Tarik Balik Laporan Polis
Suspek perdaya mangsa kononnya ada rakan terperangkap dalam stor. Mangsa mengikut & tiba² dipeluk & didukung oleh lelaki itu. Ibu mangsa didatangi oleh ibu suspek yang memintanya menarik balik laporan polis terhadap anaknya.
DUNGUN - Susulan viral video seorang murid perempuan dipercayai dicabul oleh seorang lelaki yang tidak dikenali semalam, mangsa tampil menceritakan semula detik-detik kejadian itu.
"Dia kata ada rakan yang terperangkap di dalam stor, lalu saya mengikut dia. Tetapi bila berada di hadapan pintu stor, saya dapati tiada sesiapa.
"Saya tak mahu masuk ke dalam stor, tiba-tiba dia memeluk belakang leher dan mendukung. Saya terus menjerit sekuat hati meminta tolong menyebabkan dia melepaskan saya semula.
"Saya terus melarikan diri ke tempat yang ada orang dan menceritakan kejadian itu sebelum mereka memaklumkan kepada guru," katanya.
Sejak dari kejadian itu, mangsa tidak lagi hadir ke kelas Fardu Ain dan hanya hadir ke sekolah pagi sahaja kerana bimbang kejadian yang sama berulang. Jelas mangsa, dia tidak mengenali lelaki itu namun dapat mengecam wajahnya, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, ibu mangsa terkilan bila mendapati video rakaman CCTV anaknya itu tersebar meluas di media sosial. Malah mereka sendiri tidak dibenarkan menonton video tersebar, tetapi terkejut bila mendapati video itu tersebar.
Susulan kejadian, ibu mangsa membuat laporan polis. Namun, ibu kepada suspek datang berjumpa dengannya dan merayu agar laporan polis itu ditarik balik.
"Ibu kepada lelaki yang cuba mencabul anak saya datang merayu agar laporan polis ditarik balik. Tetapi saya katakan kepadanya, bayangkan anak saya ini adalah anak dia, bagaimana perasaannya walaupun memang ada rasa kasihan kepada ibunya itu," katanya.
Bagaimanapun, ibu mangsa menyerahkan tindakan seterusnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap suspek. Kejadian itu juga menjadi pengajaran kepada keluarga mangsa agar sentiasa berwaspada mengawasi anak-anak walaupun di mana saja mereka berada.