"Kelantan dah dapat (dilanda) banjir, Aceh (dilanda) gempa bumi. Kita ni bila-bila masa saja (boleh terjadi).
"Kalau malapetaka terjadi, tidak kira (orang) alim atau tidak, kena sapu semua. Jadi, kami tidak mahu terkena (bala bencana)," kata pemimpin Perkid.
Kira-kira 20 anggota Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) mengadakan solat hajat dan membaca Yasin di luar Stadium Malawati tempat Selena Gomez mengadakan konsert malam ini.
Ditemui Malaysiakini presidennya Masridi Sat (gambar) berkata mereka berkumpul di situ untuk memantau apa yang berlaku dan kecewa kerana ramai anak muda yang datang mengenakan pakaian seksi.
Beliau juga mempersoalkan di manakah mereka mendirikan solat Maghrib dan Isyak.
"Kami nak tengok sama ada penonton serta artis yang datang ini mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa atau tidak," katanya.
Selain itu Masridi berkata anggota Perkid juga membuat solat hajat dan bacaan Yasin supaya konsert berkenaan tidak menjadi sebab kepada kedatangan malapetaka.
"Kelantan dah dapat (dilanda) banjir, Aceh (dilanda) gempa bumi. Kita ni bila-bila masa saja (boleh terjadi).
"Kalau malapetaka terjadi, tidak kira (orang) alim atau tidak, kena sapu semua. Jadi, kami tidak mahu terkena (bala bencana)," katanya.
Selena yang mula dikenali sebagai selebriti kanak-kanak melalui siri televisyen Barney & Friends mengadakan persembahan di Stadium Malawati walaupun mendapat bantahan sesetengah pihak, termasuk PAS.
Selena, 24, sebelum ini mengadakan konsert di Indonesia. Ia adalah sebahagian daripada siri konsert jelajah Revival Tour selebriti kelahiran Texas, AS itu.
Seorang exco Selangor dari PAS turut dilapor mengarahkan masjid di negeri itu mengadakan solat hajat pada Jumaat lalu untuk mendoakan konsert berkenaan batal.
Bagaimanapun Jabatan Agama Islam Selangor menafikan pihak mereka ada mengeluarkan arahan seumpama itu.
Masridi berkata sebelum ini Perkid ada menghantar memorandum kepada exco Selangor, datuk bandar Shah Alam dan pengerusi Majlis Agama Islam Selangor bagi membantah konsert berkenaan.
Katanya, mereka difahamkan konsert itu diteruskan kerana mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam dan kerajaan negeri.
"Kami ini datang atas rasa tanggungjawab, kami bercakap kerana benar, bukan datang atas kepentingan politik," katanya.
Sementara itu konsert berkenaan berlangsung dilaporkan dengan lancar dan bebas daripada sebarang kejadian tidak diingini.
Malah difahamkan Selena tampil dengan pakaian yang sederhana, tidak seksi seperti dijangka sesetengah pihak.
Malah beberapa pengguna laman sosial secara bersaja menganggap penampilan Selena lebih sopan berbanding sesetengah artis Malaysia.
Bagaimanapun untuk rekod sebelum ini Selena memang pernah tampil dengan imej seksi.