Saya Dijadikan Kambing Hitam


Petaling Jaya: Pelakon dan pelawak Adlin Aman Ramlie, 44, menafikan mempunyai kaitan dengan pelaburan skim cepat kaya sebuah syarikat seperti disiarkan media.
Adlin menjelaskan pernah membuat penampilan khas untuk syarikat itu namun tidak menyangka namanya turut disalah guna pihak tertentu untuk mempromosikan skim syarikat berkenaan.
"Memang saya mengenali beberapa individu yang dikatakan terbabit dalam penipuan hartanah berkenaan.
“Cuma kecewa nama saya disalah guna sehingga ditahan polis bagi membantu siasatan kes ini dan berasa dijadikan kambing hitam,” katanya di sidang media petang tadi.
Adlin bagaimanapun menafikan dia ditahan reman empat hari sebaliknya menjelaskan hanya dibawa ke balai polis pada 20 Julai lalu, untuk membantu siasatan berkaitan kes penipuan itu.
"Pada jam 2.30 petang Rabu lalu, polis datang ke rumah meminta saya hadir ke Bukit Aman dan saya kemudian dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
“Selepas berpuas dengan keterangan diberikan, saya dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.
Menurut pelakon itu, dia akan lebih berhati-hati memilih undangan selepas ini agar kejadian sama tidak berulang .
"Tujuan saya membuat sidang media ini bagi menjelaskan beberapa dakwaan tidak betul yang mengaitkan saya dengan penipuan ini seperti tersebar di media sosial.
“Pada masa sama, saya akan terus membantu polis dalam siasatan sindiket penipuan besar ini," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid berkata, seorang pelakon dan pelawak ditahan di Cyberjaya dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut berkaitan kes penipuan hartanah berjumlah hampir RM500,000.

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close