Tertarik dengan cara doktor pakar itu. Aku pakaikan kasut pada anak aku yang berusia 9 bulan lebih, namun masih belum pandai berjalan lagi. Masuk ke bilik, doktor tak banyak cakap terus membuka kasut anak dan menyuruh aku menyimpan kasut itu.
"Doktor nak buat pemeriksaan agaknya," getusku dalam hati.
Bila semuanya sudah selesai, barulah doktor menerangkan kenapa dia berbuat demikian.
"Jangan pakaikan kasut pada bayi yang masih belum pandai berjalan melainkan stokin semata-mata. Stokin yang dipakaikan itu juga perlu longgar. Beri kebebasan pada tulang-tulang tapak kaki dan jari kaki bayi. Berjalan pun belum, walaupun dah pandai berjalan tanpa kasut pun belum tentu dia lepas. Inikan pula baru belajar berjalan terus dipakaikan kasut?
"Sementara belum pandai berjalan ini, bayi suka rengangkan tulang-tulang jari kaki mereka dengan cara tersendiri. Kalau kita perhatikan, bayi suka gerakkan jari jemari kaki, pergelangan kaki mereka. Jadi, jika dipakaikan kasut, kaki mereka rasa tidak bebas," jelas doktor.
Ini satu maklumat yang penting dari doktor pakar itu. Aku terima dengan penuh positif. Ibu bapa nak menggayakan bayi, jangan sampai bayi kita terbeban dengan perkara yang mereka belum mampu terima.
Terima kasih doktor pakar, di atas info kesedarna itu. Tidak perlu lagi pakai kasut sebelum tiba masanya. Nanti bayi dah pandai berjalan, kaki sudah kuat, nak pakaikan kasut boot getah yang digunakan untuk pergi kebun itu pun tak apa. Nak pakai kasut Phua Chu Kang pun boleh.