SEPANG – Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kini dijadikan sebagai lokasi terbaru bagi para pengemis terutamanya warga asing menjalankan kegiatan mengutip wang daripada orang ramai yang datang ke lapangan terbang itu.
Tinjauan Kosmo! di surau lelaki Anjung Tinjau yang terletak di Aras 5, bangunan KLIA mendapati seorang gelandangan sedang mengemis meminta wang ihsan daripada orang ramai yang masuk dan keluar dari surau berkenaan.
Menurut salah seorang petugas KLIA yang menyelia kebersihan di surau dan tandas, Mustafa Kamal Shah Alam, lelaki bernama Muhammad itu mendapat kutipan lebih RM12,000 setiap bulan berdasarkan pemerhatiannya sebelum ini.
“Sepanjang tiga bulan bertugas menjaga kebersihan surau dan tandas di KLIA ini, setiap hari saya melihat dia meminta wang daripada orang ramai yang datang ke surau untuk mendirikan solat.
“Hasil kutipannya lebih RM400 setiap hari. Jika dia cakap duit tersebut akan digunakan untuk membeli tiket pulang ke negara asalnya, wang kutipan itu sudah lebih daripada mencukupi,” katanya.