Sebenarnya tiada siapa yang berkahwin mahu perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian. Kita doakan sahaja agar Ladyana adalah jodoh yang tepat buat Awie dan kekal sehingga hujung nyawa.
Sudah bertunang dengan seorang wanita bernama Sharifah Ladyana, Awie kini tidak mahu mengenangkan lagi episod dukanya sebelum ini bersama Rozana Misbun dan bersedia untuk bergelar suami buat kali ketiga tidak lama lagi.
Mengakui beliau hanya seorang lelaki normal yang mahu hidup bersama insan yang dicintai, Awie bagaimanapun mendapatkan persetujuan anak-anaknya sebelum bertunang bersama Ladyana.
" Takut atau tidak, saya perlu teruskan hidup. Saya manusia dan lelaki normal yang punya nafsu serta keinginan untuk berkongsi hidup dengan orang yang dicintai. Apa yang penting, anak-anak dapat menerima dia seadanya. Sejujurnya, sebelum menerima kehadiran Lady dalam hidup, saya terlebih dahulu menanyakan perkara itu kepada anak-anak dan mereka bersetuju. Apa yang saya nampak, dia mampu melayan anak-anak saya dengan baik"
Sejujurnya Awie mempunyai harapan yang agak tinggi agar rumah tangga yang bakal dibina kali ini akan kekal sehingga akhir hayat selain memberikan cahaya baharu didalam hidupnya.
" Saya perlukan seseorang yang bukan hanya untuk berkongsi kasih sayang tetapi juga untuk menyempurnakan jalan hidup saya bersama anak-anak. Rasa kosong kalau hidup sendiri.
Setidaknya, kalau saya berkahwin dan dikurniakan cahaya mata, ia akan membuatkan saya lebih bertanggungjawab dalam hidup dengan lebih fokus kepada anak-anak dan isteri di rumah."